SUFFIAN ABDUL RAHMAN
Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my


USIA Suffian Abdul Rahman kini sudah memasuki 41 tahun namun kelibat penjaga gol Terengganu FC (TFC) itu bukan saja mendapat pujian peminat setia skuad itu malah persembahannya turut menarik minat jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim untuk menyenaraikannya sebagai penjaga gol nombor satu skuad penyu itu.

Ketua jurulatih TFC itu juga memberi jawatan baharu iaitu sebagai kapten pasukan menggantikan kapten kelahiran Ivory Coast sebelum ini, Kipre Tchetche bermula pertemuan dengan Melaka United (MU) minggu lalu.

Irfan ketika diminta mengulas prestasi penjaga gol veteran yang digelar ‘Buffon Ganu’ itu oleh peminat setia skuad Penyu, tanpa berselindung memuji corak persembahan pemain paling senior pasukannya itu.

Jurulatih berpengalaman itu menyifatkan aksi bekas penjaga gol kebangsaan berkenaan yang mula menyarung jersi skuad TFC pada pertengahan Liga Perdana 2017 kian menjadi mengawal pintu gol TFC walaupun usianya kian meningkat.

Malah Irfan menyatakan pemain itu yang juga paling senior dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini juga mempunyai karakter tersendiri sehingga aksinya sukar digugat tiga lagi penjaga gawang skuad Penyu.

Setakat ini, daripada empat perlawanan, penjaga gol itu hanya melepaskan tiga gol ketika seri 2-2 dengan Johor Darul Ta[zim (JDT) dan seri 1-1 dengan juara Piala Malaysia musim lalu, Perak.

“Ketika pertemuan terakhir dengan MU, dia (Suffian) bermain dengan baik, begitu juga tiga perlawanan terdahulu pemain itu memperagakan aksi memberangsangkan mengawal pintu gol pasukan.

“Kerana itu kami memilih pemain berkenaan mengawal pintu gol TFC bermula perlawanan ketiga hingga aksi terakhir bertemu MU yang berkesudahan kami menang 3-0.

“Bagaimanapun saya akui dua lagi penjaga gol iaitu Wan Azraie Wan Teh dan bekas penjaga gol Negeri Sembilan musim lalu, Mohd Ilham Amirullah Razali bukannya tidak bagus, tapi setakat ini dua pemain itu dilihat kurang memberi arahan serta mengeluarkan suara ketika mengawal pintu gol berbanding Suffian.

“Saya percaya dua penjaga gol itu serta seorang lagi penjaga gol, Shafawi Mohamad mampu menyinar jika mereka berusaha lebih keras lagi apatah lagi usia Suffian kian meningkat,” ujar Irfan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 7:31 PM