Pengurus Manchester, United Ole Gunnar Solskjaer FOTO AFP.
AFP

OLE Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United menampilkan persembahan terburuknya sepanjang dia menjadi pengendali pasukan itu selepas Wolves menyingkirkan mereka daripada saingan Piala FA dengan kekalahan 2-1 di peringkat suku akhir.

Bagaimanapun pengendali sementara United itu masih bersemangat untuk mengubah nasib pasukan itu walaupun persembahan mereka dilihat semakin goyah.

Solskjaer berkata, ada banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi dengan memburu tempat dalam kelompok empat teratas liga untuk beraksi Liga Juara-Juara musim depan selain bakal berdepan Barcelona di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara nanti.

United tewas dengan aksi bertenaga lawan, Wolves yang menjaringkan dua gol dalam masa enam minit di babak kedua permainan menerusi Raul Jimenez dan Diogo Jota, manakala Marcus Rashford menjaringkan gol tunggal untuk United pada minit kecederaan.

“Hari ini adalah persembahan terburuk kami sejak saya berada di sini,” kata Solskjaer.

“Ia satu langkah ke belakang. Tidak ada kesungguhan dalam serangan dan hantaran ke hadapan serta kurang penguasaan. Kami merasa terlalu selesa dengan kawalan dan tidak memberi tekanan kepada penjaga gol serta pertahanan lawan.


Pemain Wolverhampton Wanderers, Diogo Jota (kanan) melakukan rembatan sambil dihalang pemain Manchester United dalam saingan Piala FA. FOTO Reuters.

Bagaimanapun Solskjaer meninggalkan pesan positif kepada peminat mereka.

“Kami berada pada kedudukan yang baik dalam liga, kami masih mempunyai Liga Juara-Juara,” katanya.

“Manchester United sentiasa kembali pada prestasi mereka menjelang April dan Mei. Kami tidak sabar menunggu perlawanan menentang Barcelona.

Ketua jurulatih Wolves Nuno Espirito Santo gembira selepas pasukannya mara ke separuh akhir Piala FA buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun.

“Ia sangat bermakna. Piala FA adalah kejohanan tertua dan kami bermain dengan baik,” kata Santo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 8:58 AM