MEULENSTEEN (gambar kecil) mahu memperbaiki kelemahan pasukan muda Australia. FOTO Syarafiq Abd Samad
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


PERLAWANAN persahabatan Bawah 23 Australia menentang Malaysia menjadi medan terbaik untuk skuad dari negara kanggaru itu menyiapkan barisan pemain bagi mengharungi perlawanan pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) di Phnom Penh, Kemboja.

Malah, perlawanan persahabatan itu juga bakal memastikan sama ada anak buah Rene Meulensteen mampu bertahan dalam cuaca panas Malaysia yang dikatakan menyamai cuaca di Kemboja.

Meulensteen yang juga bekas jurulatih Manchester United berkata, beliau mahu memperbaiki kelemahan pasukan termasuk membentuk kesefahaman antara pemain sebelum mengharungi pusingan kelayakan nanti.

“Perlawanan persahabatan ini penting untuk kami membina kesefahaman seterusnya perbaiki kelemahan membabitkan posisi tertentu.

“Kami tidak memandang Malaysia sebagai pasukan mudah untuk ditumpaskan berdasarkan rekod yang ada, Australia perlu lebih bersedia dan menggunakan peluang yang ada untuk memastikan kemenangan pasukan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Shah Alam, hari ini.

Australia yang diundi dalam kumpulan H bakal bertemu Korea Selatan, Kemboja dan tuan rumah Kemboja.

Mengikut rekod sebelum ini pasukan Australia B-23 bertemu PJ City namun skuad kendalian Meulensteen tewas 0-2 manakala perlawanan menentang Malaysia B-23 adalah kali pertama.

Sementara itu, pasukan Australia boleh dikatakan sudah lengkap dengan pemain menunjukkan semangat juang tinggi dan sudah bersedia bagi mengharungi pusingan kelayakan AFC.

“Saya sudah kumpulan pemain sejak Ogos tahun lalu supaya dapat membentuk kesefahaman antara mereka seterusnya kenalpasti posisi yang perlu diperbaiki atau dipertingkatkan lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 9:09 PM