Ole Gunnar Solskjaer. FOTO Reuters.
AFP

OLE Gunnar Solskjaer yakin Manchester United mempunyai kualiti lengkap untuk menjuarai Liga Juara-Juara, namun tetap bersandar kepada tuah jika gergasi Inggeris itu mahu memenangi trofi berkenaan buat kali keempat.

United berdepan dua perlawanan suku akhir getir menentang Barcelona pada April selepas mara menerusi kebangkitan dramatik daripada ketinggalan 2-0 defisit dalam perlawanan pertama untuk menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) berdasarkan gol di tempat lawan dalam kelompok 16 terakhir.

Solskjaer menjaringkan gol kemenangan dramatik pada final 1999 ketika United menjaringkan dua gol pada minit kecederaan untuk menewaskan Bayern Munich 2-1 di Barcelona dan menjadi juara Eropah.

United pernah memenangi trofi pada 1968, melakukannya semula pada 2008 ketika menewaskan Chelsea menerusi penalti di Moscow namun gagal mara ke final sejak 2011, apabila tewas 3-1 kepada Barcelona.

Solskjaer mengakui kelebihan berpihak kepada pasukan itu ketika menewaskan PSG, dengan Marcus Rashford menjaringkan gol penting menerusi penalti selepas bola terkena tangan pemain lawan dan perkara itu hanya dikesan menerusi bantuan VAR pada minit akhir permainan.

Pengurus sementara itu mengakui situasi getir untuk menang Liga Juara-Juara 20 tahun lalu seolah-olah berulang kembali kepada United, bangkit daripada ketinggalan dua gol dalam perlawanan di tempat lawan untuk menewaskan Juventus di separuh akhir sebelum kebangkitan dramatik bertemu Bayern.

“Saya fikir kami telah menunjukkannya ketika bertemu PSG pada hari yang tepat kami boleh menewaskan pasukan terbaik,” kata Solskjaer yang mengubah nasib United kebelakangan ini sejak mengambil alih tugas itu daripada Jose Mourinho yang dipecat pada Disember lalu.

“Dan sekali lagi, ada banyak perkara yang boleh dilakukan dan pada perlawanan ini ia akan ditentukan dengan jaringan.

“Sudah pasti dengan keputusan VAR, walaupun pada saya ia adalah penalti, kamu mungkin tidak bernasib baik dan tidak memperolehinya pada minit akhir perlawanan kemungkinan kami akan terkeluar dan tidak ramai yang mengingati aksi PSG.

“Memang ya, kami boleh pergi lebih jauh tetapi perlu ada tuah dan beraksi baik sepanjang perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 12:13 PM