NORZA (kanan) pada sesi townhall bersama Syed Saddiq (tengah) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: “Malaysia bukan lagi kuasa utama badminton dunia,” akui Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria pada sesi ‘Townhall Badminton 2019’ bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ahli gabungan, kelab swasta, jurulatih dan pemain, di sini, semalam.

Beliau berkata, Malaysia bukan lagi kuasa badminton dunia, sebaliknya kini berada pada kedudukan ketujuh atau kelapan.

Katanya, skuad negara meraih Piala Thomas pada 1950-an dan 1960-an disusuli kejayaan terakhir pada 1992 kerana mempunyai pemain berkelas dunia dan menjadi tuan rumah, namun sehingga kini selepas 27 tahun belum lagi menang semula.

“Badminton mula dipertandingkan di Olimpik 1992 (Barcelona) dengan empat acara sebelum ditambah kepada lima pada Atlanta 1996. Ia secara tidak langsung sudah menarik negara lain untuk melabur. Jadi muncullah negara baharu seperti Thailand, Taiwan, Jepun, Hong Kong dan banyak lagi.

“Kita perlu tahu kedudukan sekarang. Sejak 10 tahun lalu, badminton negara hanya dinilai menerusi seorang individu iaitu (Datuk) Lee Chong Wei...Raja Siri Super. Setiap kali dia menang, kita gembira...kita tenang...badminton ok...tidak perlu melihat kepada akar umbi. Itu yang berlaku.

“Apabila saya menjadi Presiden BAM...saya ke Melaka berjumpa persatuan di sana...mereka berterima kasih kepada saya kerana hadir bertemu mereka dan saya dimaklumkan kali terakhir Presiden BAM ke sana adalah ketika Khir Johari pada lewat 1980-an. Ini menunjukkan kita mengambil mudah,” kata Norza.

Beliau berkata, atas kesedaran berkenaan BAM mengambil inisiatif mengadakan sesi bertemu pihak berkepentingan bagi membina semula institusi untuk mendapat pandangan semua pihak.

“Kita kini mempunyai Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang bakal menjadi pusat berprestasi tinggi dan menjadi tempat untuk mengubah semula badminton. Selain itu kita mengharapkan kerajaan dapat membantu dalam mewujudkan liga yang lebih sempurna seperti bola sepak dan hoki. Ia diharap mampu menarik lebih banyak pembabitan swasta dan pemegang taruh yang lain,” katanya.

Jelas Norza, apabila mengambil tampuk kepemimpinan BAM, terdapat empat perkara yang sering diperkatakan kepadanya iaitu siapa selepas Chong Wei, bila mahu menang Piala Thomas, kenapa belum ada juara dunia dan bila boleh dapat emas Olimpik.

“Saya perlu memastikan salah satu daripadanya tercapai, namun ia adalah tanggungjawab semua pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 6:30 AM