KEADAAN Kasut Emas milik Nizaruddin Yussof yang mengalami kerosakan.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Bekas pemain negara, Khalid Ali , menempelak sikap membisu pentadbir bola sepak tempatan yang memandang remeh keluhan bekas beberapa pemenang Kasut Emas.

Selain pemenang 2009, Mohd Nizaruddin Yusof yang mendedahkan anugerah itu sudah rosak kerana hanya but bola biasa yang disembur cat emas, perasaan kecewa turut dikongsi beberapa pemenang lain seperti Mohamad Ashari Samsudin, Haris Safwan Kamal dan Indra Putra Mahayuddin.

Menurut Khalid yang memacu kejayaan Harimau Malaya mencuri tiket ke Sukan Olimpik Moscow 1980, beliau mengikuti rapat isu berkenaan dan mengakui terkejut apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) seolah-olah tidak berminat untuk menangani isu itu apatah lagi mahu memperbaiki kualiti Kasut Emas itu.

Katanya, rintihan bekas pemain itu bukan sengaja diadakan-adakan tetapi ia benar-benar berlaku terutama apabila kasut yang dihadiahkan itu lusuh dan catnya terkopak walaupun ia disimpan rapi.

“Saya tunggu juga kalau-kalau FAM dan MFL akan tampil ganti balik hadiah (Kasut Emas) yang dah rosak sebab penggunaan cat pada kasut itu.

“Tapi sayang sampai kini tak ada apa-apa respons langsung dan ini menunjukkan mereka tidak berminat nak jaga bola sepak kita. Saya nasihatkan sesiapa saja yang bertanggungjawab dalam isu ini jawablah sama ada nak dibaik pulih atau tidak, tapi kalau mereka mengatakan mereka pun tak tahu, saya rasa mereka patut berhenti. Tak payahlah duduk nak jadi boneka di atas saja,” katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, akhbar ini secara eksklusif melaporkan trofi Kasut Emas Liga M bukan tulen atau bersadur emas, sebaliknya ia hanya but bola biasa yang disembur warna keemasan untuk dihadiahkan kepada penjaring gol terbanyak, sekali gus menyebabkannya mudah rosak.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pihak berkaitan seharusnya lebih menghargai keringat pemain yang melakar sejarah menjadi penjaring gol terbanyak dengan memberi hadiah lebih bernilai dan bermutu tinggi.

“Pemain bola adalah atlet yang berlatih teruk dan berusaha untuk naikkan nama negara. Tapi dengan cara inikah keringat dan sumbangan atlet dihargai, adakah dengan kasut ‘spray’ yang boleh dibuat oleh cucu saya saja.

“Ini pemain peringkat negara bukan pemain estet. Lagipun dalam setahun beratus pemain yang berebut tapi hanya seorang diangkat sebagai pemenang, jadi hargailah mereka dengan sebaik-baiknya.

“Kalau terus nak diam atau bagi alasan mengarut, selagi itulah bola sepak kita akan mundur dan takkan ke mana-mana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 6:00 AM