VETTEL (kanan) berjabat tangan dengan seteru utamanya Lewis Hamilton dari Mercedes di Melbourne, semalam. — FOTO AFP
Reuters

SEBASTIAN Vettel menegaskan rakan sepasukan barunya di Ferrari, Charles Leclerc “bebas berlumba” dari awal musim Formula Satu dan pemandu Jerman itu menolak tanggapan bidaannya bagi kejuaraan dunia kelima menjadi keutamaan.

Prinsipal baru pasukan Ferrari, Mattia Binotto menyatakan awal tahun ini bahawa Vettel, sebagai “juara” pasukan itu, akan diberi keutamaan berbanding Leclerc dalam beberapa situasi perlumbaan, sekalipun beliau kemudiannya menegaskan pemandu “bebas untuk bertarung.”

Vettel, yang berusaha mencatat kemenangan ketiga berturut-turut pada perlumbaan pembuka tirai Grand Prix Australia hujung minggu ini berkata, dia tidak menjangkakan sebarang layanan istimewa.

“Saya fikir ia sudah jelas dan saya sedar Mattia juga sudah menjelaskannya, kami bebas untuk berlumba antara satu sama lain,” katanya kepada wartawan di Albert Park, semalam.

“Saya fikir Charles akan melakukan yang terbaik untuk dirinya, membantu pasukan dan ia sama dengan saya, saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu diri sendiri dan pasukan.

“Akhirnya kami berlumba untuk Ferrari dan ia bermakna kami cuba meletakkan Ferrari kembali ke tempat yang mana kami cuba lakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Itulah keutamaannya dan saya fikir ia musim yang panjang dan tidak guna ketika ini untuk mula menyatakan mengenai senario tertentu.”

Leclerc, yang memandu bersama Sauber tahun lalu, bertukar tempat dengan Kimi Raikkonen, dengan bekas juara dunia dari Finland itu kini berada di pasukan yang dijenamakan semula Alfa Romeo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 12:38 AM