KAH Ming (kanan) dan Juan Shen beraksi pada Masters Malaysia, Januari lalu. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
BERNAMA

BEREGU lelaki profesional negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen meneruskan rentak cemerlang mereka apabila mara ke suku akhir kejohanan badminton Masters China di Hainan, hari ini.

Pilihan keempat itu hanya mengambil masa 33 minit untuk mengatasi pasangan Taiwan, Lin Chia Yu-Yang Ming-Tse 21-14, 21-17 pada pusingan kedua.

Dalam pada itu, bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong yang bergandingan dengan Kim Sa Rang dari Korea Selatan turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Liu Wei Chen-Lu Chen dari Taiwan 21-19, 21-19.

Sementara itu, beberapa pemain Malaysia tersingkir daripada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$75,000 (RM306,000) itu selepas tumpas kepada lawan masing-masing.

Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang juga pilihan utama, tewas mengejut 12-21, 16-21 kepada pasangan muda China, Dong Weijie-Chen Xiaofei.

Choong Hon Jian-Man Wei Chong pula tumpas kepada pilihan kelima, Di Zijian-Wang Chang dari China 14-21, 17-21 dalam acara beregu lelaki.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita pada kejohanan Jelajah BWF berstatus Super 100 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 12:00 AM