Ahmad Shakeel tiba di kampung halamannya selepas menempuh perjalanan panjang. FOTO IHSAN PEMAIN THR
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


BEKAS pemain import pasukan Hoki Terengganu (THT) kelahiran Pakistan, Ahmad Shakeel Butt selamat tiba di negaranya, kelmarin selepas terkandas di negara ini sejak 4 Mac lalu.

Bagaimanapun pemain skuad kebangsaan Pakistan itu yang sudah dua musim bersama skuad The Turtles terpaksa menempuh perjalanan panjang sebelum tiba di kampung halamannya di Sialkot, Lahore.

Khabar itu dimaklumkan Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Saberi Salleh yang menyatakan pemain berusia 23 tahun itu sudah berada bersama keluarganya di kampungnya sejak kelmarin.

“Alhamdulillah, Shakeel sudah selamat sampai di kampungnya kelmarin dalam keadaan selamat walaupun terpaksa mengharungi tempoh perjalanan yang begitu lama sebelum tiba.

"Pemain itu (Shakeel) memaklumkan perjalanan yang begitu memenatkan sebelum tiba di kampungnya, dia terpaksa berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok sebelum tiba ke Karachi, Pakistan.

"Namun Shakeel perlu menunggu hampir 17 jam di Bangkok sebelum berlepas ke Karachi dan dari Karachi dia perlu menaiki penerbangan lagi untuk ke Lahore.

"Selepas tujuh jam tiba di Lahore, Shakeel terpaksa menempuh perjalanan selama lima jam lagi dengan menaiki kereta sebelum tiba di kampungnya di Sialkot namun bersyukur pemain itu selamat tanpa sebarang insiden,” kata Saberi di Kuala Terengganu, hari ini.

Sebelum ini, pemain tengah THT itu terpaksa ‘berkampung’ di negeri ini akibat konflik dua kuasa nuklear, Pakistan dan India.

Shakeel sepatutnya dijadualkan pulang ke negaranya pada 4 Mac lalu, terpaksa menaiki penerbangan dari Bangkok untuk ke negaranya pada Selasa lalu.

Ketika menyarung jersi THT, Shakeel antara watak utama kejayaan skuad itu musim ini selepas berjaya menjulang Piala Sumbangsih dan Piala TNB menumpaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 2-1.

Sebelum ini, syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia sudah mengeluarkan amaran perjalanan membabitkan destinasi di utara India selepas ketegangan antara India dan Pakistan.

Indian Airlines sebelum ini dilaporkan sudah menghentikan perkhidmatan membabitkan bandar di utara India seperti Amritsar, Chandigarh, Dehradum, Jammu, Leh dan Srinagar.

Malah, Penerbangan Awam Pakistan juga menutup ruang udara kepada semua penerbangan komersial berikutan ketegangan berlaku antara New Delhi dan Islamabad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 3:48 PM