NEYMAR (kiri) berang dengan keputusan pengadil Damir Skomina dari Slovenia. — FOTO AFP
Reuters

PENYERANG Paris Saint-Germain, Neymar akan disiasat UEFA kerana lantang mengkritik sistem penolong pengadil video (VAR) selepas tersingkir di tangan Manchester United pada kempen Liga Juara-Juara minggu lalu, menurut badan induk bola sepak Eropah itu, hari ini.

Bintang Brazil itu, yang direhatkan kerana cedera, berang dengan sepakan penalti lewat yang dihadiahkan kepada United ketika PSG kalah pada aksi kedua, pusingan 16 terakhir di Paris menyaksikan mereka terkandas menerusi gol di tempat lawan dan Neymar kemudian menyatakan sistem VAR sebagai “memalukan.”

“Siasatan tatatertib dimulakan berdasarkan Artikel 31(3) peraturan disiplin UEFA susulan kenyataan yang dibuat pemain PSG, Neymar,” menurut UEFA.

“Keputusan mengenai siasatan ini akan diumumkan tidak lama lagi,” menurut badan induk itu dalam satu kenyataan.


SEPAKAN penalti kontroversi Rashford yang memastikan United mara. — FOTO www.uefa.com

United, yang kalah aksi pertama 0-2 di Old Trafford, dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas bola terkena tangan pertahanan PSG, Presnel Kimpembe dan pengadil merujuk kepada VAR.

Marcus Rashford menyempurnakan sepakan itu sekali gus memastikan kemenangan 3-1 United yang cukup membantu pelawat mara menerusi gol di tempat lawan selepas keputusan terikat 3-3 secara agregat.

Neymar terlepas kedua-dua aksi selepas mengalami kecederaan kaki Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 11:11 PM