DM/Esme Jo Intermezzo

IA antara jaringan ‘pelik’ dapat disaksikan musim ini apabila penyerang Carlisle, Hallam Hope menggunakan inisiatif tersendiri menjaringkan gol menentang Notts County, semalam.

Jaringan itu dibuat ketika Notts County mendahului 2-0 pada perlawanan League Two.

Ketika itu Hope dan rakan sepasukan Carlisle mencari jalan untuk kembali merapatkan kedudukan pada perlawanan terbabit.

Ketika penjaga gol Notts County, Ryan Schofield leka mencari rakan pasukan untuk menghantar bola dia tidak menyedari Hope berada di belakangnya menanti peluang.

Hope memecut laju secara tiba-tiba ke arah Schofield, terus merampas bola lalu menyepak masuk sebelum dia sempat berbuat apa-apa.

Ia jaringan ke-11 dalam saingan liga musim ini buat pemain akademi Everton itu.

Bagaimanapun, jaringan itu tidak cukup menyelamatkan Carlisle apabila Lewis Alessandra meledak gol ketiga menjadikan kedudukan 3-1 buat Notts County.

Keputusan itu meletakkan Notts County berada di tangga ke-23 dalam League Two dan empat mata daripada zon penyingkiran.

Carlisle di tangga kelapan, tercicir satu mata untuk play-off.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 8:35 PM
Hope menanti sebelum merampas bola Schofield. FOTO REUTERs/Youtube