Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) bercadang untuk membida sebagai tuan rumah Sukan Asia 2030 namun ia bergantung kepada sokongan kerajaan.

Perkembangan itu diumumkan Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang melihat sudah tiba masanya Malaysia menjadi tuan rumah buat kali pertama temasya serantau itu.

“Kami mencadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya kerajaan menimbang untuk membida tuan rumah Sukan Asia 2030. Saya sudah suarakan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk dipanjangkan kepada KBS.

“Kita mempunyai fasiliti dan infrustruktur yang cukup baik. Kita pernah menjayakan Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA 2017 serta mempunyai kepakaran untuk menjayakannya,” katanya selepas mesyuarat lembaga eksekutif MOM di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun Norza menjelaskan, ia tertakluk kepada sokongan dan pendirian kerajaan sebelum MOM meneruskan hasrat itu.


PRESIDEN MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. — FOTO Aizuddin Saad

“Bagus untuk membawa Sukan Asia ke tanah air. Anda lihat Indonesia selepas Sukan Asia 2018, mereka kini meletakkan impian menganjurkan Sukan Olimpik. Thailand sudah beberapa kali menganjurkan Sukan Asia. Jadi sudah tiba masanya kita pula membida temasya ini,” katanya.

Sukan Asia 2022 akan berlangsung di Hangzhou, China disusuli Nagoya, Jepun bagi edisi 2026.

Malaysia belum pernah menganjurkan temasya Sukan Asia sejak ia kali pertama diadakan pada 1951 di New Delhi.

Namun sebelum ini MOM gagal dalam usaha membida tuan rumah Sukan Asia 2006 apabila kalah di tangan Doha pada majlis pengundian di Busan, Korea Selatan pada 2000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 7:48 PM
STADIUM Nasional di Bukit Jalil pernah menjadi gelanggang utama Sukan Komanwel 1998. — FOTO Zunnur Al Shafiq