ANAK buah Cheng Hoe menjalani latihan di Bukit Jalil, hari ini. — FOTO Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


TIGA pemain tidak dapat hadir pada hari pertama sesi latihan skuad Harimau Malaya dalam persiapan menjelang Piala Airmarine di padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Bagaimanapun mereka ada alasan yang boleh diterima akal.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Hazwan Bakri dan Syazwan Andik terbabit dengan perlawanan Liga Juara-Juara Asia menentang Gyeongnam FC dari Korea Selatan di Larkin malam ini manakala pertahanan Pahang, Matthew Davies pulang ke rumah keluarganya di Australia.

Pengurus pasukan Datuk Yusoff Mahadi berkata, mereka bagaimanapun akan menyertai sesi latihan di tempat sama esok.

“Mereka sudah memaklumkan kepada jurulatih tidak dapat menghadiri sesi latihan hari pertama kerana mempunyai sebab tertentu iaitu perlu beraksi untuk perlawanan penting selain mempunyai hal keluarga,” katanya selepas sesi latihan itu.

Skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe menjalani latihan sebagai persediaan mengharungi Piala Airmarine pada 20 dan 23 Mac ini yang menjadi medan terbaik untuk memperbaiki ranking.

Seramai 25 pemain dipanggil menyertai kem latihan itu dengan enam pemain digugurkan iaitu Farizal Marlias, Aidil Zafuan Radzak, Adam Nor Azlin, Amirul Azhan Aznan, Syafiq Ahmad dan Shahrel Fikri Fauzi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai harga tiket perlawanan yang dikatakan mahal iaitu RM45 (tempat duduk grandstand) dan RM35 (tempat duduk terbuka) bagi satu hari (dua perlawanan), Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia menyatakan jumlah itu berpatutan.

“Tiket itu untuk dua perlawanan jika diikutkan empat perlawanan baru saja RM70 (tempat duduk terbuka) bagi dua hari.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 7:38 PM