Pemain pertahanan Pahang, Muslim Ahmad (kanan) ketika aksi Liga Super. FOTO NSTP.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


MUSLIM Ahmad mengesahkan kecederaan paha kiri yang dialami tidak serius dan dijangka beraksi sebaik saingan Liga Super bersambung hujung bulan ini.

Pemain pertahanan kelahiran Terengganu itu berkata, ini kerana minggu lalu, dia sudah turun menjalani latihan ringan untuk mendapatkan kembali tahap kecergasan.

"Saya jangkakan akan kembali beraksi sebaik liga bersambung pada 31 Mac ini tetapi bergantung kepada prestasi untuk membantu pasukan.

"Setakat ini, hanya latihan ringan yang dapat dilakukan dan tempoh rehat liga ini membantu memulihkan kecederaan," kata pemain berusia 30 tahun itu.

Pada 24 Februari lalu, Muslim terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama ketika Pahang melayan kunjungan Selangor di Stadium Darul Makmur.

Kecederaan itu menyebabkan dia terlepas dua perlawanan ketika skuad Tok Gajah bertemu PKNP dan Kedah.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, tempoh rehat kira-kira tiga minggu diharap membantu pemain yang cedera untuk pulih.

Katanya, bukan sahaja Muslim, malah Dickson Nwakaeme yang sebelum ini mengalami kecederaan pangkal paha kembali berada pada prestasi terbaik.

"Oleh itu, tempoh rehat ini diyakini memberi peluang kepada pemain berehat dan mempamer prestasi terbaik apabila liga bersambung nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 1:31 PM