Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane. FOTO AFP.
AFP

ZINEDINE Zidane berkata dia tidak pernah meragui untuk kembali ke Real Madrid selepas dia menggantikan jurulatih yang dipecat Santiago Solari semalam.

“Apabila presiden menghubungi saya perkara pertama yang saya fikirkan adalah : pergi,” kata Zidane dalam sidang media di Santiago Bernabeu.

“Saya boleh kata tidak, saya tidak pernah rasa ragu-ragu untuk kembali.”

Zidane ditawarkan kontrak sehingga Jun 2022, hanya sembilan bulan selepas dia meletak jawatan hujung musim lalu, dia memacu Madrid melakar sejarah tersendiri apabila mengungguli tiga gelaran Liga Juara-Juara.

Pemecatan Solari seperti diduga selepas tiga kekalahan penting di laman sendiri - dua kepada Barcelona dan satu Ajax - sehingga memberi kesan mendalam buat Madrid dengan semuanya seolah-olah berakhir pada pertengahan Mac.

Namun kehadiran semula Zidane, dengan baki 11 perlawanan dalam La Liga dan dengan tiada apa yang hendak dikecapi, adalah sesuatu yang mengejutkan, walaupun sebelum pemergiannya meninggalkan reputasi hebat dengan kejayaan di peringkat Eropah.

“Saya pergi kerana perlu ada perubahan yang harus dilakukan pada penghujung musim lalu, untuk kebaikan semua, selepas mencipta banyak kejayaan,” kata Zidane.

“Saya kembali kerana presiden menghubungi saya. Saya sukakannya dan cinta kelab ini, jadi di sini saya berada.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 8:33 AM