Jurulatih Real Madrid Santiago Solari. FOTO AFP.
AFP

KEKALAHAN berturut-turut Real Madrid sudah berakhir namun masa depan Santiago Solari bersama kelab itu masih belum pasti selepas kemenangan 4-1 mengatasi pasukan bergelut Real Valladolid awal pagi ini.

Ditanya selepas itu sama ada ia perlawanan terakhir buatnya selaku jurulatih, Solari berkata: “Saya tidak boleh jawab. Esok kami ada sesi latihan dan itulah yang saya beri tumpuan.”

Karim Benzema menjaringkan dua gol, termasuk satu daripada penalti selain gol Raphael Varane dan Luka Modric ketika Madrid bangkit daripada ketinggalan di Stadium Jose Zorrilla, selepas Anuar Tuhami meletakkan Valladolid di depan menerusi gol pada separuh masa pertama.

Pemain tengah Real Valladolid, Michel Herrero (kanan) cuba menghalang pemain Real Madrid, Luka Modric (tengah) dalam aksi La Liga di Stadium Jose Zorrilla, Valladolid awal pagi ini. FOTO EPA.

Madrid sepatutnya boleh mendahului empat gol apabila VAR membatalkan dua gol daripada Sergi Guardiola manakala Ruben Alcaraz merembat bola penalti ke palang pada awal permainan.

Ia permulaan yang cemas pada setengah jam pertama apabila lampu padam sebelum sepak mula dan ditamatkan dengan Casemiro dibuang padang dan Modric menambah jaringan keempat Madrid.

Madrid kekal di tangga ketiga La Liga, 12 mata di belakang Barcelona dan lima di belakang Atletico.

Valladolid adalah lawan pertama buat Solari dalam liga pada November lalu apabila kemenangan 2-0 menyaksikan pasukan itu melalui lapan kemenangan daripada sembilan pertemuan berikutnya.

Tetapi tiga kekalahan berturut-turut di gelanggang sendiri, dua kepada Barcelona dan Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara bererti sebarang kejayaan buat masa ini terpaksa dilupakan.

“Ia adalah minggu sukar bagi semua orang, pemain juga,” kata Solari.

“Kesannya dapat dilihat pada aksi 20 minit awal permainan dan ia menghukum kami, tetapi keseluruhan permainan mereka menunjukkan sikap profesional, semangat dan kesungguhan mereka beraksi dalam keadaan sukar.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 10:03 AM