Pengurus Pahang, Datuk Suffian Awang.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


PENGURUS Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mahu aksi konsisten dapat dikekalkan skuad itu sebaik saingan Liga Super bersambung pada 31 Mac depan. 

Justeru, beliau berkata, tempoh rehat kira-kira tiga minggu diharap tidak menjejaskan momentum untuk memastikan skuad Tok Gajah kekal berada di kedudukan terbaik liga. 

"Selepas mengharungi enam perlawanan dan kini menduduki tangga kedua liga, saya berpuas hati dengan komitmen yang dipersembahkan semua pemain. 

"Apa yang perlu dilakukan pemain ialah untuk mengekalkan prestasi dan lebih agresif untuk mengelak daripada keciciran mata.

"Kami tidak boleh berada terlalu jauh dengan pendahulu liga jika mahu memberi tekanan kepada lawan dan setakat ini keputusan yang diraih amat positif," katanya.

Sebagai tanda penghargaan kepada pemain, Mohammed Suffian berkata, skuad itu diberi cuti selama seminggu dan akan kembali menjalani latihan pada 15 Mac ini.


Tonggak Pahang, Disckson Nwakaeme (kiri) diasak pemain Kedah, Muhammad Shakir Hamzah (kanan) pada saingan Liga Super. FOTO NSTP.

Sebaik skuad itu menjalani latihan, katanya, enam pemain Pahang tidak turut serta kerana mewakili skuad negara bagi mengharungi saingan Piala Airmarine 2019 dan pusingan kelayakan Kejuaraan Bawah B-23, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020.

"Mereka adalah kapten pasukan, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh dan Nor Azam Azih bersama skuad Tan Cheng Hoe manakala R Dinesh, Faisal Abdul Halim dan R Kogileswaran dengan Datuk Ong Kim Swee," katanya.

Selepas enam perlawanan, skuad kendalian Dollah Salleh itu berada di tangga kedua liga dengan 14 mata di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan perbezaan dua mata.

Lebih membanggakan, skuad Tok Gajah mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mencatat empat kemenangan dan dua seri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 12:42 PM