Pemain Manchester City, Raheem Sterling menjaringkan hatrik pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Watford di Stadium Etihad, pagi ini. FOTO Reuters.
AFP

PEP Guardiola memohon maaf jika Manchester City diberikan ‘pertolongan’ ketika mencatat kemenangan 3-1 ke atas Watford, tetapi menegaskan pasukannya tetap berhak menang dan menjarangkan jurang empat mata di puncak Liga Perdana.

City dipaksa bekerja keras untuk menembusi pertahanan Watford sehingga gol kontoversi Raheem Sterling pada minit ke-46 mengubah semuanya.

Sterling sebenarnya ofsaid dalam usahanya mengatasi penjaga gol Ben Foster, tetapi keputusan itu diketepikan pengadil, Paul Tierney selepas berbincang dengan pembantunya.

Sterling berada dalam keadaan offsaid ketika dia menyambar hantaran Sergio Aguero tetapi bola berkenaan disepak ke arahnya oleh pertahanan Daryl Janmaat, dan disebabkan itu Tierney menyatakan Sterling berada dalam keadaan tidak ofsaid.

Sterling kemudiannya melengkapkan hatrik ketika City terus memberi tekanan terhadap pasukan tangga kedua, Liverpool, yang akan menanti kehadiran Burnley di Anfield malam ini.


Pemain Manchester City meraikan jaringan Raheem Sterling ketika pasukan itu menewaskan Watford, 3-1 di Stadium Etihad, pagi ini. FOTO AFP.

Guardiola mengharapkan keseimbangan perlawanan tidak diganggu dengan peristiwa itu dan menyokong pengenalan VAR dalam Liga Perdana musim depan walaupun wujud kritikan ketika digunakan dalam Liga Juara-Juara minggu ini.

“Jika gol pertama itu ofsaid, saya minta maaf,” kata pengurus City itu.

“Perlu ada penyelesaian mudah dan akan ada musim depan. Dengan VAR, tidak akan ada masalah dan akan lebih adil.

“Pada permulaan musim, Manchester City bersetuju jika VAR digunakan. Sebahagian kelab tidak mahu. Saya harap musim depan sama seperti negara Eropah lain, kami boleh menggunakannya.”

“Saya minta maaf dan memohon maaf kepada Javi (Gracia) dan kepada Watford jika gol pertama itu adalah ofsaid, tetapi ia menakjubkan.

“Kami beraksi dalam perlawanan yang menakjubkan, kami bermain baik dalam separuh masa pertama dan lawan hanya mempunyai satu peluang terbaik menjaringkan menentang kami.”

Bagaimanapun, pengurus Watford, Gracia agak marah dengan keputusan perlawanan itu.

“Hari ini, pada pandangan saya, ia adalah jelas sekali,” katanya.

“Ketika Aguero menerima ball, Sterling berada pada kedudukan ofsaid, ia nampak jelas dengan kedudukan mungkin pada jarak dua meter.

“Selepas itu, dia berada pada kedudukan ofsaid dan mempengaruhi kedudukan itu apabila terus membawa bola itu. Kemudian, memang benar pemain pertahanan menyambar bola berkenaan memandangkan Sterling berada hampir dengannya selain cuba memberi tekanan kepada pemain itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 8:39 AM