FLEETWOOD (kiri) meraih dua eagle untuk mencatat enam di bawah par 66 manakala Bradley (kanan) menyusul dengan 68 pukulan bagi membolehkan mereka berkongsi sembilan di bawah par 135 selepas dua pusingan di Bay Hill. FOTO AFP
Reuters

Tommy Fleetwood terlebih dahulu mencipta rentak sebelum diikuti pemain Amerika Syarikat Keegan Bradley sebelum mereka berkongsi kelebihan empat pukulan pada pusingan kedua Kejohanan Jemputan Arnold Palmer di Florida hari ini.

Pemain Inggeris, Fleetwood yang juga naib juara Terbuka AS tahun lalu, meraih dua eagle untuk mencatat enam di bawah par 66 manakala Bradley menyusul dengan 68 pukulan bagi membolehkan mereka berkongsi sembilan di bawah par 135 selepas dua pusingan di Bay Hill.

“Jika anda boleh mencatat skor pada par lima, anda boleh mendapat skor yang baik dan itulah yang saya lakukan hari ini,” kata Fleetwood kepada Golf Channel selepas melakukan empat birdie dan dua bogey selain dua eagle.

“Seronok mendapat hari seperti itu dan lega apabila pukulan anda menjadi.”

Bradley yang memulakan saingan di tempat kedua di belakang pendahulu sebelumnya dari Sepanyol Rafa Cabrera Bello, mencatat enam birdie selain dua bogey.

Dia mencipta kejutan pada lubang ke-15 apabila melakukan pukulan putt untuk birdie sejauh 33 kaki.

“Biasanya saya tidak tinggalkan bendera,” kata Bradley.

“Saya memutuskan untuk meninggalkannya dan sudah pasti ia mengenai bendera dan masuk ke dalam lubang.”

Enam pemain berkongsi tangga ketiga dengan lima di bawah par termasuk juara kejohanan Klasik Honda Keith Mitchell (68).

Billy Horschel (71), pemain Venezuela Jhonattan Vegas (70), Francesco Molinari dari Itali (70), pemain AS Kevin Kisner (69) Roger Sloan dari Kanada (69) turut mengumpul 139 pukulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 1:28 PM