Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyambut baik usaha berterusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam membantu menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan lapan pasukan sebelum ini.

Kelmarin, FAM memaklumkan tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi lima pasukan Liga Malaysia yang berjumlah RM1,178,600 sudah diselesaikan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh persatuan itu.

Manakala, tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tiga lagi pasukan iaitu FELDA United, Hanelang FC dan Marcerra United yang berjumlah RM1,339,359.40 sedang dalam proses pembayaran dan dijangka dapat dikreditkan terus ke akaun mereka dalam beberapa minggu lagi.

"PFAM ingin mengesahkan bahawa setiap pemain yang diwakili oleh PFAM sudah menerima bayaran daripada FAM bagi tunggakan gaji yang dilaporkan.

"Sebagai makluman, pemain-pemain yang menerima bayaran ini adalah pemain-pemain yang membuat laporan dan sudah mendapat keputusan daripada Jawatankuasa Status FAM.

"Pemain-pemain yang terlibat adalah daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kewangan FC (MOF FC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur FC (DBKL FC) dan Terengganu City FC (TCFC).

“Sementara untuk pemain-pemain Marcerra United dan Hanelang, dijangka akan menerima bayaran awal tidak lama lagi. PFAM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak FAM yang telah banyak bekerjasama dan melakukan sedaya upaya untuk menyelesaikan isu ini," menurut kenyataan yang dikeluarkan PFAM hari ini.

Tambah PFAM lagi, bantuan dan kerjasama erat bersama FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat dipertingkatkan lagi terutama dalam usaha membasmi isu tunggakan gaji di saingan Liga Malaysia.

"PFAM berharap perkara yang sama akan turut berlaku kepada pemain-pemain pasukan yang masih mempunyai masalah tunggakan gaji seperti Kuantan FA, Pulau Pinang, Perlis dan lain-lain.

"Bantuan dan kerjasama daripada pihak FAM dan MFL amat diharapkan bagi menyelesaikan masalah ini, dan PFAM percaya semuanya sedang berada di landasan yang tepat ke arah jalan penyelesaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 1:00 PM