AKSI Milunovic melakukan sepakan gunting ketika bertemu PDRM dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Likas, minggu lalu. - FOTO Khairull Azry Bidin
Ryan Stanley
sukanteam@nstp.com.my

PENGENDALI Sabah, Jelius Ating mahu anak didiknya mengekalkan momentum seterusnya cuba mencuri tiga mata daripada Negeri Sembilan dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam esok.

Bekas pemain berusia 48 tahun itu berkata, momentum skuad Tambadau kini di tahap terbaik dan pemain juga terus menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

"Biasanya di awal musim ini, ada pasukan masih tercari-cari rentak tetapi saya percaya momentum pasukan kini di tahap terbaik dan ini kesempatan untuk meraih sebanyak mungkin mata yang boleh.

"Masih terlalu awal untuk berkata mengenai kedudukan tetapi kita perlu dapatkan setiap peluang yang ada untuk meletakkan pasukan di kedudukan baik kerana ia mungkin akan mempengaruhi kedudukan kita di akhir musim nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata, dia akan mengekalkan kesebelasan utamanya sebelum ini kerana barisan pemain itu telah membuktikan kemampuan selain melaksanakan tugas dengan baik di setiap aksi.

"Kita akan guna kesebelasan sama (menentang PDRM) sebelum ini. Mereka telah melakukan tugas dengan baik dan terus membuktikan dalam latihan untuk dikekalkan dalam kesebelasan utama.

"Bagaimanapun pemain di bangku simpanan juga sedia menggalas tugas bila-bila masa, jadi kesebelasan utama bukan isu utama sebaliknya fokus kita ialah bagaimana meneruskan rentak kemenangan," katanya.

Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim selaku benteng terakhir, dibantu empat pertahanan iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Park Tae Su, Randy Baruh dan Dendy Lowa.

Penjaring terbanyak Sabah setakat ini, Luka Milunovic pula akan terus menjadi arkitek di bahagian tengah dengan dibantu Sabri Sahar, Mohd Azzizan Nordin serta Maxsius Musa, manakala Luiz Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic menggalas tugas pemburu jaringan.

Sabah kini berada di kedudukan kedua liga selepas mengumpul 10 mata daripada lima perlawanan iaitu dua mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim II (JDT II), manakala Negeri Sembilan di tangga kelima dengan sembilan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 3:17 PM