NAOMI menjawab soalan wartawan pada sidang akhbar di Indian Wells hari ini. — FOTO AFP
AFP

PEMAIN nombor satu dunia, Naomi Osaka menyatakan dia berasa “agak terharu dan teruja” dengan versi baru patung mainan Barbie yang menyerupai wajahnya.

Bintang Jepun itu, yang memenangi gelaran Grand Slam kedua berturut-turut pada Terbuka Australia Januari lalu, menyertai beberapa wanita berpengaruh yang menjadi sebahagian daripada koleksi siri “Sheroes” Barbie – kelompok yang termasuk gimnas Laurie Hernandez dan atlet lawan pedang Olimpik, Ibtihaj Muhammad.

“Saya fikir ia terlalu bermakna, terutama kerana sejak kecil saya bermain dengan patung Barbie,” kata Naomi di Indian Wells, Amerika Syarikat hari ini.

Naomi, ibunya berbangsa Jepun manakala bapanya dari Haiti berkata, Barbie menyerupai wajahnya satu penghormatan serta peluang.


KOLEKSI terbaru “Sheroes” Barbie, Naomi dua dari kiri. — FOTO Mattel

“Berpeluang mewakili orang yang mungkin berasakan mereka tidak mempunyai wakil satu sasaran penting buat saya,” katanya.

Namun pemain berusia 21 tahun itu masih belum selesa memainkan peranan sebagai model contoh.

“Apabila saya didekati kanak-kanak dan mereka amat comel dan mereka mahukan autograf – saya mula memikirkan mengenai ketika saya kecil dan saya pergi ke kejohanan untuk menyokong pemain kesayangan saya dan hanya mahu menjadi seperti mereka.

“Saya berasa amat bangga kerana saya mampu berada di tempat orang yang pernah saya ikuti sebelum ini. Memang ia sesuatu yang istimewa.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 12:40 PM