NEYMAR berada dalam kalangan penonton di Parc des Princes, awal pagi semalam. — FOTO Reuters
AFP

NEYMAR akan berkunjung ke Qatar untuk menjalani “pemeriksaan menyeluruh” enam minggu selepas pemulihannya daripada kecederaan kaki kanan yang retak, menurut Paris Saint-Germain, awal pagi tadi.

Penyerang Brazil itu menyaksikan penuh kecewa dari bangku penonton di Parc des Princes ketika PSG tersingkir pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di tangan Manchester United menerusi gol tempat lawan selepas kalah 1-3, awal pagi semalam.

“Neymar Jr akan berkunjung ke Aspetar (klinik sukan) di Qatar selama tiga hari seperti dijadualkan dalam perancangan awal program pemulihan,” umum kelab itu dalam akaun Twitter.

“Dia akan menjalani pemeriksaan lengkap selepas enam minggu mengalami kecederaan. Dia akan diiringi pasukan perubatan PSG.”

Pemain berusia 27 tahun itu retak tulang metatarsal kaki kanannya ketika menang aksi Piala Perancis menentang Strasbourg pada 23 Januari lalu dan terpaksa diketepikan selama 10 minggu.

PSG berharap dia pulih sepenuhnya untuk kembali beraksi bagi suku akhir Liga Juara-Juara bulan depan namun kelab Perancis itu mengalami kekalahan mengaibkan ketika United secara sensasi mengatasi defisit 0-2 pada aksi pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 9:51 AM