Mbappe (kiri) dan Neymar dikatakan akan berhijrah ke Real Madrid. FOTO AFP
The Sun/EJ

REAL Madrid dilaporkan sudah tidak sabar untuk membawa dua pemain superstar Paris Saint-Germain (PSG) Neymar dan Kylian Mbappe ke ibu kota Sepanyol itu.

Akhbar Sepanyol, AS mendakwa gandingan itu akan ke Sepanyol pada musim panas depan selepas PSG tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas kecundang kepada Manchester United.

Juara Ligue 1 itu mensia-siakan kelebihan 2-0 pada perlawanan pertama peringkat kalah mati 16 pasukan terakhir selepas kalah 3-1, awal pagi tadi menerusi sepakan penalti saat akhir Marcus Rashford yang memastikan United mara dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Neymar yang tidak beraksi pada dua perlawanan timbal-balik itu benar-benar kecewa dengan keputusan itu.

Ia membuatkan dua pemain terbabit mencari jalan untuk meninggalkan PSG disebabkan kegagalan kelab mahal itu bertarung pada peringkat Eropah.

Real muncul sebagai pasukan elit paling berminat untuk mendapatkan tandatangan mereka.

Los Blancos sebelum ini cuba mendapatkan Mbappe dari Monaco tetapi dia memilih untuk berada di ibu kota Perancis.

Neymar pula memang sudah lama menjadi sasaran sejak dia berada di Barcelona.

Pemain Brazil itu sebelum ini memberi gambaran untuk berhijrah ke Bernabeu ketika Real mahu membina semula pasukan selepas tersingkir awal daripada UCL.

Neymar memberitahu Globo TV: “Anda tanya jika saya hendak bermain untuk Madrid? Mereka antara kelab terbesar dunia.

“Mana-mana pemain dikaitkan dengan Real Madrid pasti tertarik untuk bermain di sana. Saya gembira di Paris, saya dalam keadaan sangat baik di sini tetapi tiada siapa tahu masa depan.

“Sudah tentu Real Madrid pasukan handalan kerana salah satu terbaik di dunia dan saya menghormati mereka.

“Kehidupan sebagai pemain bolasepak sangat cepat. Perkara berlaku tanpa dijangkakan, tiada siapa tahu apa akan berlaku esok hari.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 8:18 PM