TUCHEL pening memikirkan nasib PSG. — FOTO Reuters
AFP

JURULATIH Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel menyifatkan penyingkiran pasukannya daripada Liga Juara-Juara di tangan Manchester United awal pagi tadi sebagai “kejam” namun enggan menyalahkan pegawai perlawanan selepas penalti lewat VAR menjadi penentu.

“Saya penyokong tegar VAR (penolong pengadil video) dan tetap akan menjadi penyokong utama VAR,” kata Tuchel, yang kelihatan pucat lesi ketika bercakap kepada media selepas kekalahan 1-3 PSG di Parc des Princes pada aksi kedua, pusingan 16 terakhir.

Selepas menang aksi pertama 2-0 bulan lalu, kelab Perancis itu bergelut pada aksi kedua namun masih layak hinggalah pengadil dari Slovenia, Damir Skomina memberikan sepakan penalti pada minit keempat masa kecederaan kerana Presnel Kimpembe memegang bola dalam kawasan penalti, selepas merujuk kepada imej.

Percubaan Diogo Dalot terkena tangan Kimpembe dan Marcus Rashford menyempurnakan sepakan penalti itu sekali gus United mara menerusi peraturan gol di tempat lawan.

“Saya menyaksikan Dalot melakukan percubaan itu. Saya lihat bola melayang terus dari kakinya dan bagi saya ia jelas melepasi palang,” kata Tuchel.

“Banyak perkara perlu dibincangkan sebelum membuat keputusan itu dan saya fikir ia keputusan 50-50.

“Apa yang menjadikannya lebih sukar saya berasakan sepakan itu tidak menepati sasaran dan untuk dihadiahkan sepakan penalti, ia tidak logik.”

Dua gol Romelu Lukaku pada babak pertama memberikan pelawat harapan untuk menang namun Juan Bernat menyamakan kedudukan seketika untuk mencerahkan peluang PSG.

PSG mendahului selesa dalam Ligue 1 namun ia tahun ketiga berturut-turut mereka tersingkir pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 12:58 PM