RASHFORD (kiri) meraikan jaringan penalti penuh bergaya bersama Mason Greenwood di Paris, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

MARCUS Rashford menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas reviu VAR mencetus kemenangan menakjubkan 3-1 buat Manchester United ke atas Paris Saint-Germain sekali gus layak ke suku akhir Liga Juara-Juara menerusi peraturan gol di tempat lawan, awal pagi tadi.

United perlu bekerja keras untuk mengatasi defisit 0-2 susulan aksi pertama, pusingan 16 terakhir bulan lalu, namun dua gol Romelu Lukaku pada babak pertama di Parc des Princes memberikan mereka harapan.

Bagaimanapun ketika Juan Bernat membalas satu gol buat PSG, mereka kelihatan tersingkir hinggalah drama pada saat akhir.

Pengadil dari Slovenia, Damir Skomina menghadiahkan sepakan penalti selepas mengkaji imej apabila beliau dimaklumkan kemungkinan pertahanan PSG, Presnel Kimpembe memegang bola dalam kotak penalti.


BUFFON gagal menyelamatkan sepakan penalti yang mencetus kemenangan United. — FOTO AFP

Rashford mudah mengatasi Gianluigi Buffon dari jarak 12 ela, ketika United memenangi perlawanan Eropah buat kali pertama dalam sejarah mereka selepas kalah aksi pertama di laman sendiri.

Kemenangan tidak disangka-sangka mereka – susulan kebangkitan sama dilakukan Ajax terhadap juara bertahan Real Madrid 24 jam terdahulu – membantu mereka mara ke suku akhir buat kali pertama sejak 2014.

Kebangkitan mengagumkan United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer berterusan dengan bekas pemain dari Norway itu kini merakam sembilan kemenangan berturut-turut di gelanggang lawan, satu rekod kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 7:04 AM