SOLARI selepas tamat perlawanan awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

SANTIAGO Solari menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid biarpun pasukannya tersingkir daripada kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara di tangan Ajax awal pagi tadi.

Madrid tewas 1-4 dan di laman sendiri dan tewas 3-5 secara agregat seterusnya gagal mara ke suku akhir kejohanan itu buat kali pertama sejak 2010.

Ini bermakna mereka turut tersingkir daripada Piala Raja Sepanyol, perburuan gelaran La Liga dan kini Eropah dalam tempoh tujuh hari.

Solari diberikan kontrak sehingga 2021 apabila mengambil alih daripada Julen Lopetegui pada November namun kekalahan memalukan itu bermakna dia tidak akan bertahan sehingga akhir musim ini, apatah lagi pada musim panas.

“Saya tidak datang kelab ini dalam saat sukar untuk mengalah,” kata Solari selepas perlawanan itu.

“Jelas sekali kami sudah memberikan segala-galanya tetapi gagal melayakkan diri.”

Real Madrid menang Liga Juara-Juara sepanjang tempoh tiga tahun terakhir berturut-turut tetapi Ajax pula tewas pada aksi pertama di Amsterdam 1-2 sebelum muncul pemenang di Santiago Bernabeu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 8:45 AM