TAYLOR tidak tersenarai untuk mengadili perlawanan seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara. - FOTO Agensi
Agensi

SAINGAN peringkat kalah mati Liga Juara-Juara menyaksikan tiada seorang pun pengadil Inggeris terpilih mengadili perlawanan.

Michael Oliver dan Anthony Taylor yang terbabit mengadili perlawanan pada peringkat kumpulan liga elit Eropah musim ini digugurkan daripada saingan peringkat 16 terbaik oleh UEFA kerana Liga Perdana tidak menggunakan VAR (penolong pengadil video).

VAR digunakan pada peringkat itu dalam Liga Juara-Juara musim ini tetapi liga utama Inggeris hanya menggunakannya musim depan.

Dengan pelantikan pengadil untuk 12 perlawanan sudah ditetapkan, tiada seorang pun wakil Inggeris tersenarai.

Jurucakap UEFA berkata: “Untuk perlawanan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dan final, hanya pengadil yang berpengalaman dengan VAR dilantik.”

Pengadil daripada enam negara dipilih untuk aksi peringkat pertama pusingan 16 terbaik - Belanda, Sepanyol, Itali, Jerman, Turki dan Slovenia.

Slovenia tidak menggunakan VAR tetapi pengadil mereka, Damir Skomina bertugas di Arab Saudi yang menggunakan sistem itu dan beliau turut bertugas ketika Piala Dunia Russia.

Pengadil untuk saingan peringkat kedua datang daripada Belanda, Jerman, Slovenia dan Turki.

Pengadil England juga tidak terpilih mengadili perlawanan Piala Dunia lalu. Oliver dan Taylor yang menggunakan VAR empat kali dalam kejohanan piala bakal ditugaskan mengadili aksi Liga Europa.

Tetapi mereka tidak berpeluang menjadi seperti Mark Clattenburg yang mengadili final pada 2016 kerana VAR bakal digunakan pada final musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 8:27 PM