AKSI Serginho (kanan) menjaringkan gol kedua Kashima. - FOTO AFP
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

HASRAT juara Liga Super lima kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa pulang satu mata tidak kesampaian selepas tewas kepada Kashima Antlers 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Kashima, sebentar tadi.

Walaupun skuad kendalian Benjamin Mora menurunkan kesebelasan terkuat namun jelas juara bertahan ACL itu berada dalam kelas tersendiri apabila menguasai hampir 90 minit perlawanan. Pemain JDT seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol mereka Farizal Marlias apabila menyelamatkan sekurang-kurangnya lima percubaan berbahaya sekali gus menidakkan peluang tuan rumah meraih kemenangan dengan jaringan lebih besar.

Separuh masa pertama menyaksikan Kashima Antlers hampir mendahului perlawanan seawal minit kedua apabila Farizal menjatuhkan Takeshi Kanamori di atas garisan penalti namun pengadil hanya menghadiahkan sepakan percuma untuk tuan rumah.

Harimau Selatan yang bekerja keras mengekang asakan tuan rumah turut mempunyai peluang mengejutkan skuad kendalian G Oiwa pada minit ke-9 menerusi sepakan akrobatik Diogo namun berjaya diselamatkan penjaga gol Kashima Antlers, Kwoun Sun-Tae.

Tuan rumah sekali lagi berpeluang memecah kebuntuan gol apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Farizal menjatuhkan penyerang import tuan rumah Serginho namun pemain terbabit gagal memanfaatkan peluang apabila tendangannya mudah dibaca penjaga gol JDT.

Gol dicari tuan rumah akhirnya muncul pada minit ke-43 apabila sepakan percuma daripada Taiki Hirato terus menerjah gol sekali gus menewaskan Farizal untuk kedudukan 1-0.

Separuh masa kedua menyaksikan Kashima Antlers terus melakukan serangan bertali arus ke kubu pelawat hingga mengkucar kacirkan pertahanan JDT.

Serginho dilihat bagai duri dalam daging buat JDT apabila berjaya menyumbat gol kedua tuan rumah pada minit ke-56 menerusi rembatan dari luar kotak penalti. JDT yang dilihat sukar untuk mengatur serangan akhirnya berjaya ‘mencuri’ satu gol ketika perlawanan berbaki 10 minit menerusi Diogo. Walaupun kedua-dua pasukan melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan masing-masing namun kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan. JDT bakal berdepan Gyeongnam FC pada 12 Mac di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 8:19 PM