KETUA eksekutif Manchester City Ferran Soriano. FOTO Reuters
Reuters

PEMILIK juara Liga Perdana Inggeris Manchester City mempertimbangkan untuk melabur pada sebuah kelab di India sebagai usaha melebarkan penguasaan mereka di peringkat Asia, kata ketua eksekutifnya Ferran Soriano.

City Football Group, yang memiliki tujuh kelab termasuk kelab Major League SoccerNew York City FC, kelab Sepanyol Girona, kelab Jepun Yokohama F Marinos dan kelab A-League Melbourne City, berharap dapat melengkapkan kontrak dengan kelab di India pada akhir tahun ini.

“Kami mempunyai minat terhadap beberapa pasaran dan negara di mana wujudnya peluang dan semangat bola sepak sejati seperti China, tetapi juga India,” Soriano dipetik sebagai berkata oleh BBC.

“Mungkin ada beberapa peluang lagi di Asia. Kami memantau perkembangan di India selama dua tahun. Saya boleh katakan kami akan menamatkan tahun ini dengan pelaburan di India.”

City Football Group baru-baru ini membeli pegangan saham di kelab divisyen tiga China Sichuan Jiuniu FC dan Soriano berkata mereka berhasrat menambah sekurang-kurangnya dua atau tiga kelab lagi.

“Saya tidak tahu apa akan berlaku 10 tahun dari sekarang tetapi kumpulan ini mungkin mendapatkan dua atau tiga kelab lagi,” kata Soriano.

“Adakah ini akan berubah dalam tempoh lima tahun dan kami akan menambah lebih banyak kelab. Mungkin, saya tidak tahu.

“Namun untuk melengkapi wawasan yang kami milik enam tahun, saya fikir kami mungkin mendapatkan dua atau tiga kelab lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 1:18 PM