Mohammed Suffian mahu skuad Pahang elak layangan kad selepas Eduardo dikenakan kad kuning pada aksi menentang PKNP FC. FOTO NSTP
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


KUANTAN: Pemain Pahang dituntut mengelak daripada dilayangkan kad kuning atau merah pada setiap perlawanan Liga Super selepas ini. 

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, langkah itu bagi memastikan percaturan terbaik dapat dilakukan pengendali pasukan, Dollah Salleh. 

"Apabila ada pemain yang tidak dapat bermain kerana penggantungan akibat kad kuning atau merah, ia pastinya mengganggu percaturan pasukan. 

"Ini kerana pasukan Pahang tidak mahu terlepas mata penting untuk memastikan kedudukan terbaik dapat diraih dalam saingan liga musim ini. 

"Oleh itu, sebaiknya pemain diharap mengelak daripada menerima kad daripada pengadil dan mereka dapat bermain pada prestasi terbaik," katanya. 

Pada perlawanan dengan PKNP FC yang menyaksikan Pahang mencatat kemenangan 3-0 Sabtu lalu, Jose Eduardo dilayangkan kad kuning. 

Kesannya, penyerang Brazil yang dikenali Ze Love sudah mengutip tiga kad kuning dan tidak dapat diturunkan apabila skuad Tok Gajah melayan Kedah di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini. 

Sebelum itu, dua pemain import, Harold Goulon dan Safuwan Baharudin juga tidak beraksi pada perlawanan dengan PKNP kerana masing-masing digantung satu perlawanan akibat kad merah dan mengutip tiga kad kuning. 

Selepas lima perlawanan, Pahang kini menghuni tangga kedua liga dengan 11 mata di belakang pendahulu, Johor Darul ta'zim (JDT) yang mengutip 13 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 3:19 PM