WANDER Luiz (dua kanan) membantu Perak mendahului menentang Terengganu FC, malam tadi. — FOTO BERNAMA
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


KETUA jurulatih Perak, Mehmet Durakovic kecewa sesudah terlepas peluang mengutip tiga mata ketika pasukannya berada di ambang kemenangan pertama Liga Super musim ini.

Beliau juga kurang senang dengan tindakan pemainnya yang melakukan kekasaran ke atas pemain Terengganu FC dalam kotak penalti ketika permainan berbaki seminit.

“Saya rasa semua orang tengok perlawanan malam ini (malam tadi), kami sepatutnya boleh mencatat kemenangan pertama kerana kami mencipta banyak peluang dan sepatutnya mengutip tiga mata untuk dibawa pulang.

“Namun sepakan penalti pada saat akhir yang diperoleh Terengganu mengecewakan kami, dengan hanya tinggal beberapa minit saja lagi apa yang boleh dilakukan pemain kami?


DURAKOVIC kecewa Perak gagal raih kemenangan pertama musim ini. — FOTO Imran Makhzan

“Inilah bola sepak, kami perlu melupakannya dan harus melihat ke depan bertemu PJ City FC selepas ini di tempat sendiri untuk mencatat kemenangan pertama,” kata Durakovic.

Pada aksi di Kuala Terengganu malam tadi, skuad The Bos Gaurus seharusnya pulang ceria selepas mendahului hingga minit ke-89 hasil jaringan pemain import, Wander Luiz pada minit ke-71.

Namun sepakan penalti yang diberikan pengadil, Razlan Joffri Ali kepada skuad Penyu ketika permainan berbaki seminit memusnahkan impian skuad itu untuk mengutip tiga mata selepas seri 1-1.

“OKlah kami pulang dengan satu mata, pasukan saya amat menakjubkan malam ini, kami mengawal permainan, bermain dengan baik, banyak mencipta peluang, namun Terengganu juga bermain baik, membawa balik satu mata sudah cukup bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 3:03 PM