DHABITAH akan beraksi bersama Syafiq Puteh dalam acara tiga meter papan anjal seirama campuran pada Ahad ini.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

GANDINGAN penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri-Kimberly Bong menamatkan acara tiga meter papan anjal seirama dengan menduduki tempat ketujuh Siri Dunia di Sagamihara, Jepun hari ini.

Dhabitah-Kimberly sejak dari awal saingan sering bersaing dengan penerjun tuan rumah, Kaneto Rin-Yasuda Mai untuk kedudukan keenam dan ketujuh namun mereka terpaksa akur apabila mengakhiri cabaran dengan mengumpul 265.50 mata.

Tempat terakhir iaitu kelapan, diisi penerjun Amerika Syarikat, Tarrin Gilliland-Maria Coburn yang meraih 252.18 mata.

Seperti dijangka China muncul juara acara berkenaan melalui gandingan Shi Tingmao-Wang Han selepas mengumpul 330 mata, manakala penerjun Kanada, Jennifer Abel-Melissa Citrini Beaulieu di tempat kedua apabila meraih 302.97 mata.

Gandingan Annabelle Smith-Maddison Keeney dari Australia menduduki tempat ketiga selepas mereka meraih 301.83 mata.

Dhabitah selepas ini mempunyai satu lagi acara iaitu tiga meter papan anjal seirama campuran, di mana dia akan bergandingan bersama Syafiq Puteh. Acara berkenaan akan berlangsung Ahad ini, iaitu pada hari terakhir kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:08 PM