Iklan komersil tajaan menampilkan kapten, Vincent Kompany dan David Silva (atas). FOTO REUTERS/Instagram Pumafootball
DM/EJ

MANCHESTER City menandatangani kontrak komersil antara paling mahal dalam sejarah bolasepak bernilai £650 juta (RM3.5 bilion) bersama Puma.

Kerjasama bersama Puma sebelum ini didedahkan pada November 2017 merangkumi City bersama empat kelab sekutu di China, Sepanyol, Australia dan Uruguay.

Difahamkan Kumpulan Bolasepak City (CFG) akan meraih keuntungan £65j (RM351j) semusim sepanjang kontrak selama 10 tahun.

Kontrak itu adalah kedua terbesar dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) di belakang Manchester United yang ditaja Adidas.

Empat kelab sekutu yang turut berada dalam kontrak adalah Sichuan Jiuniu (China) bersama Girona, Melbourne City dan kelab Uruguay, Atletico Torque.

Kelab terbabit mewakili peningkatan dalam kontrak City sekarang dengan nilai £20j (RM108.3j) setahun bersama Nike.

Perbincangan awal dengan Puma berkisar untuk penghasilan peralatan hanya untuk City sebelum kelab berada di bawah mereka kemudian turut dibawa bersama ke meja rundingan.

“Ia hari bersejarah buat kami,” kata ketua eksekutif City, Ferran Soriano. “Apa kami lakukan sekarang tidak pernah dibuat sebelum ini.

“Ia kerjasama tidak pernah diketahui. Kami memerlukan rakan yang mampu bergerak pantas bersama kami”.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 8:12 PM