JONG Hyun (tengah) menyumbat lima gol buat THT membelasah TNB pada separuh akhir kedua Piala TNB di Jalan Duta, hari ini. — FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


PASUKAN Hoki Terengganu (THT) menepati ramalan mara ke perlawanan akhir Piala TNB apabila membenam Tenaga Nasional Berhad (TNB) 5-2 dan 8-3 secara agregat di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta.

Pada separuh akhir kedua hari ini, TNB terlebih dulu membuka jaringan melalui Akhimullah Anuar Essok pada minit ke-10 hasil pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun, THT berjaya melebarkan jurang agregat apabila pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun menjaringkan dua gol berturut-turut pada minit ke-14 dan 15.

Jong Hyun melengkapkan hatrik melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-32 sebelum kapten TNB, Faiz Helmi Jali meledak gol kedua dua minit kemudian.

THT terus mengamuk apabila Jong Hyun menambah dua gol lagi pada pada minit ke-52 dan 53 bagi melengkapkan kemenangan besar itu.

Pada separuh akhir pertama Selasa lalu, THT menang 3-1.

Kali terakhir pasukan dari Pantai Timur itu muncul juara Piala TNB adalah pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 6:00 PM