De Gea mahu kekal di Old Trafford. FOTO REUTERS
DM/EJ

DAVID De Gea akhirnya mengambil keputusan untuk kekal di Manchester United.

Penjaga gawang Sepanyol terbabit dijangka menandatangani kontrak baru jangka panjang bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam masa terdekat.

Biarpun syarat terakhir belum dipersetujui antara kelab dan ejen pemain itu, Jorge Mendes yang berdebat mengenai gaji potensi £375,000 (RM2.03 juta) seminggu tetapi De Gea melihat masa depan bersama kelab Old Trafford itu cerah selepas kembali menyerlah di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Selepas Real Madrid mendapatkan Thibaut Courtois pada musim panas lalu, cadangan membawa De Gea ke ibu kota Sepanyol itu tidak lagi kedengaran.

De Gea juga kurang berminat beraksi di Sepanyol disebabkan sering dikecam serta liputan media negatif mengenai dirinya.

United mengakui mereka gembira untuk membayar De Gea gaji £350,000 (RM1.89 juta) seminggu tetapi Mendes melihat bintang Chile yang tidak menjadi, Alexis Sanchez menerima £400,000 (RM2.17 juta) seminggu dan dia mahukan bayaran yang sama.

Kontrak De Gea akan berakhir pada 2020 dan dia bebas untuk mengikat kontrak dengan dengan mana-mana kelab luar negara selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 1:27 PM