Pemain Paris Saint-Germain Angel Di Maria menjaringkan dua gol pada saingan suku akhir Piala Perancis ketika pasukan itu menewaskan Dijon, 3-0 di Paris. FOTO AFP.
AFP

PARIS Saint-Germain (PSG) meneruskan aksi cemerlang untuk memburu trofi Piala Perancis buat kali kelima berturut-turut dengan Angel Di Maria dua gol untuk memastikan kemenangan selesa 3-0 pada pusingan suku akhir menewaskan Dijon, di Parc des Princes, pagi ini.

Sepakan lambung Di Maria pada minit kelapan membolehkan pasukan itu di depan diikuti gol kedua peribadinya sebelum waktu rehat, dengan Thomas Meunier menjaringkan gol ketiga pada penghujung permainan.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu berada pada kedudukan baik untuk melakar sejarah memenangi tiga gelaran musim ini, apabila mereka turut mendahului Ligue 1 dengan kelebihan 17 mata serta beraksi kurang satu perlawanan.

PSG akan berhadapan Manchester United pada perlawanan timbal balik pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, minggu depan, berbekalkan jaringan 2-0.

Tuchel masih tidak dapat menurunkan Neymar dan Edinson Cavani berikutan kecederaan menjelang perlawanan menentang United, mengambil keputusan meletakkan Kylian Mbappe di bangku simpanan ketika menentang Dijon yang berada di zon penyingkiran Ligue 1.

Begitupun, pengendali dari Jerman itu memuji persembahan pemain baharunya pada Januari lalu, Leandro Paredes.

“(Paredes) bermain dengan baik pada separuh masa pertama permainan, seperti keseluruhan pasukan,” kata Tuchel. “Dia mampu melakukan hantaran tepat. Dia boleh diberikan peranan membuka ruang buat pemain dan mengubah rentak permainan.”

Tuan rumah bermula pantas dengan kemaraan bekas penyerang Stoke City, Maxim Choupo Moting dihalang oleh penjaga gol Dijon, Runar Alex Runarsson.

Namun PSG tidak perlu menunggu lama apabila menjaringkan gol menerusi Di Maria yang menerima hantaran Julian Draxler untuk menewaskan Alex Runarsson sekaligus menyaksikan gol ke 12 pemain Argentina itu pada musim ini.

Bekas pemain sayap Real Madrid itu menjaringkan gol kedua pada minit ke-28 manakala Meunier memastikan kemenangan selesa PSG menerusi gol ketiga kira-kira 13 minit sebelum tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 10:29 AM