Agensi

LONDON: Tiga tahun lalu, banyak pihak bimbang apabila pelumba basikal Britain, Victoria Williamson mungkin tidak dapat berjalan lagi selepas tengkuk, belakang dan tulang pinggulnya patah gara-gara terbabit kemalangan.

Victoria sedang menyertai perlumbaan 2016 Rotterdam Six Day, tetapi dia langsung tidak dapat mengingati apa yang berlaku di final acara omnium di mana dia bertembung dengan peserta tuan rumah, Elis Ligtlee.

Walaupun beberapa bahagian tulangnya retak dan terseliuh selain kulitnya tersiat dan mengalami luka yang agak dalam di bahagian belakang badan hingga menampakkan tulang belakangnya, Victoria perlu berterima kasih kepada pakar perubatan yang berjaya memulihkannya.


VICTORIA ketika menerima rawatan selepas bertembung Elis tiga tahun lalu.

Hari ini, atlet berusia 25 tahun berkenaan akan kembali menyarung jersi Great Britain di Kejohanan Trek Dunia di Pruszkow, Poland.

“Jika anda lihat surat kebenaran keluar hospital yang diberikan doktor, anda mungkin tidak percaya bahawa saya sudah kembali sedia untuk berlumba,” katanya kepada BBC.

“Saya bangga dengan diri sendiri, tapi saya juga berterima kasih kepada sokongan yang diberikan kepada saya hingga membolehkan saya kembali berlumba.”

Apa yang paling dibimbangkan pakar perubatan yang merawat Victoria selepas kemalangan itu ialah dia mungkin lumpuh seumur hidupnya.

Bagaimanapun, Victoria yang sering berada dalam keadaan sedar dan tidak, selain terpaksa diberikan dadah jenis Fentanyl - 100 kali ganda lebih kuat berbanding morfin - tidak pernah memikirkan soal hidup matinya ketika itu.

Ayat pertama yang keluar dari mulutnya sejurus sedar ialah: “Adakah saya menang perlumbaan itu?”

Victoria mengaku tidak sedar bahawa dia berada di hospital dan sedang menerima rawatan.

“Saya langsung tidak tahu. Saya hanya anggap bahawa rakan-rakan serta keluarga mahu bergurau dengan saya.

“Saya dimaklumkan bahawa saya mungkin tidak dapat berjalan lagi dan saya perlu menghadiri sesi fisioterapi yang mana saya diarah untuk cuba melangkah tanpa bantuan tongkat. Saya juga dikhabarkan mungkin tidak dapat mengayuh basikal selepas itu,” katanya.

“Bukan saya saya merasa sakit secara fizikal, tetapi mental saya turut terganggu apatah lagi saya tidak mampu untuk ke tandas seorang diri.

“Saya hanya terlentang selama lebih tiga minggu dan setiap kali cuba untuk mengalihkan badan, saya akan pengsan. Ketika itu barulah saya sedar bahawa keadaan fizikal saya memang teruk.”

Selepas empat minggu di hospital, Victoria kembali ke negaranya dan menjalani sesi pemumulihan selama sembilan bulan di Pusat Sukan Bisham Abbey.

Dia juga menjalani pembedahan bagi mengeluarkan skru yang dipasang di tulang pinggulnya pada September 2017 dan sudah mula berkayuh secara perlahan-lahan hujung tahun yang sama.

“Saya langsung tidak dapat mengingati kemalangan itu,” katanya.

Jun tahun lalu, pelumba Olimpik Jerman, Kristina Vogel yang juga sahabat Victoria, lumpuh selepas terbabit kemalangan di velodrom.

Khabar itu jelas mengejutkan Victoria dan dia sedar bahawa nasibnya lebih baik walaupun kecederaan yang dialaminya lebih parah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 6:30 AM