Solskjaer (kiri) risau selepas Lingard (atas) dan Rashford cedera. FOTO REUTERS/EPA
DM/EJ

OLE Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United berdepan cabaran baru apabila dilanda krisis kecederaan 10 pemain sekaligus.

Jesse Lingard yang beraksi pada perlawanan menentang Liverpool, Ahad lalu, berada dalam senarai itu selepas mengalami masalah hamstring sebelum tamat separuh masa.

Turut berada dalam senarai adalah Anthony Martial, Ander Herrera, Nemanja Matic dan Juan Mata dengan semuanya tidak dapat beraksi untuk perlawanan menentang Crystal Palace pada saingan EPL, esok.

Marcus Rashford pula mengalami kecederaan pergelangan kaki.

Matteo Darmian, Antonio Valencia, Phil Jones dan Mason Greenwood juga turut cedera.

“Martial tidak akan bersedia untuk perlawanan ini,” kata Solskjaer. “Mungkin Southampton. Kami tidak akan mengambil risiko untuk satu lagi.

“Saya boleh mengatakan Jesse memang hendak bermain. Dia menepati segala-galanya pada sesi latihan tetapi mungkin terlalu awal beberapa hari.

“Kami sudah tentu memiliki pasukan bagus. Ia peluang buat yang lain. Scott (McTominay) serta Andreas (Pereira) beraksi dengan baik pada perlawanan menentang Liverpool. Mereka perlu bersedia apabila mendapat peluang bermain.”

Pemain Akademi seperti Angel Gomes, Tahith Chong dan James Garner berada dalam skuad untuk kunjungan ke Selhurst Park.

Solskjaer turut mencabar Alexis Sanchez dan Romelu Lukaku mempamer potensi menepati reputasi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 8:27 PM