LUKAKU diasak pemain Liverpool, Andy Robertson (L) di Old Trafford. - FOTO Agensi
Agensi

ROMELU Lukaku berkata, dia bersedia membantu Ole Gunnar Solskjaer ketika Manchester United dibelenggu krisis kecederaan.

United kehilangan Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard akibat kecederaan hamstring ketika seri tanpa jaringan menentang Liverpool, Ahad lalu.

Marcus Rashford pula mengalami kecederaan buku lali selepas dikasari Jordan Henderson, manakala Anthony Martial dan Nemanja Matic terpaksa diketepikan akibat kecederaan pangkal paha.

Ini bermakna Solskjaer membawa skuad tempang ke Crystal Palace pada awal pagi Khamis ini tetapi pada masa sama memberi peluang kepada Lukaku membuktikan kemampuan dengan membarisi kesebelasan utama.

"Selagi pengurus mahu menggunakan saya, saya akan memberi yang terbaik membantu pasukan,” kata pemain Belgium itu.

"Kami mempunyai beberapa siri kecederaan dan perlu kekal positif. Kami adalah Manchester United dan anda perlu pergi ke mana sahaja kami pergi dan menang.

"Roy Hodgson sudah pasti memperkasakan pasukannya. Kami tahu dan turut bersedia serta memulihkan tenaga selepas aksi memenatkan menentang Liverpool.

"Secara taktikalnya dan persiapan, kami sudah bersedia.”

Lukaku yang masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Liverpool berkata, dia gembira jika sekali lagi diberi peranan sama di sebelah kanan ketika berkunjung ke Selhurst Park.

"Kiri atau kanan, bukan masalah bagi saya. Beraksi bersama kelab ini adalah satu penghormatan dan saya akan memberi yang terbaik tanpa mengira apa posisi sekali pun.“

Keputusan seri di Old Trafford gagal melebarkan jurang mata Liverpool di puncak Liga Perdana tetapi bekas pemain Everton itu berkata itu bukan motivasi utamanya.

"Kami ada tugas dalam kelompok empat teratas. Perlu kekal positif dan jangan putus asa.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 11:56 AM