NEYMAR kini menjalani rawatan di Brazil. - FOTO Agensi
AFP

JURULATIH Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel berkata, dia berharap Neymar akan kembali berlatih selepas aksi peringkat kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Manchester United pada 6 Mac.

Pemain termahal dunia itu terpaksa diketepikan sejak 23 Januari lalu akibat kecederaan kaki dialami ketika menewaskan Strasbourg pada aksi Piala Perancis dan perlu berehat 10 minggu.

PSG menjangkakan dia kembali beraksi jika kelab itu layak ke suku akhir Liga Juara- Juara pada April.

Neymar kini berada di Brazil sejak 20 Februari lalu bagi menjalani rawatan. Dia terlepas aksi peringkat pertama yang dimenangi 2-0 gergasi Perancis itu.

"Adalah penting dia kembali ke Paris sebelum menentang Manchester United bagi membantu dan menyokong kami. Saya harap selepas perlawanan itu dia boleh kembali menjalai latihan dan membantu kami,” kata pengurus dari Jerman itu.

"Sukar bercakap dengannya kerana perbezaan masa. Saya tahu dia selesa di Brazil,” katanya.

Juara Perancis itu menang tujuh perlawanan dan tewas sekali sepanjang ketiadaan Neymar.

Musim lalu, Neymar tidak dapat beraksi tiga bulan selepas mengalami kecederaan metatarsal dan hanya pulih beberapa hari sebelum Piala Dunia bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 8:07 AM