ORBAN (tengah) menjaringkan gol penyamaan Leipzig, awal pagi tadi. - FOTO AFP
Reuters

JARINGAN lewat pertahanan kiri, Willi Orban menyelamatkan RB Leipzig daripada kekalahan di tempat sendiri awal pagi tadi. Keputusan seri 1-1 di Red Bull Arena itu membolehkan Leipiz kekal dalam misi kelompok empat teratas Bundesliga dan berpeluang cerah layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Leipzig kini memiliki 42 mata daripada 23 perlawanan, satu mata di belakang pasukan di tangga ketiga Borussia Moenchengladbach dan empat mata di depan Wolfsburg yang menghuni tangga kelima.

Hoffenheim yang seperti Leipzig tidak kalah dalam lima perlawanan liga kekal di tangga ke lapan dengan 34 mata.

Leipzig lebih banyak menguasai bola pada babak pertama tetapi Hoffenheim lebih berbahaya menerusi serangan balas pantas dan pada minit ke-22, penyerang Croatia, Andrej Kramaric menjaringkan gol pendahuluan.

Penjaga gol Leipzig, Peter Gulacsi gagal menampan bola dengan kemas rembatan deras pemain tengah Brazil, Joelinton daripada sebelah kanan dan bola muntah itu pantas ditolak masuk Kramaric dari jarak tiga meter sekali gus membuat stadium sepi seketika.

Peluang terbaik Leipzig menyamakan kedudukan diperolehi Konrad Laimer namun percubaan jarak dekatnya berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat, Oliver Baumann.

Skuad tuan rumah menggandakan asakan selepas rehat tetapi gol dicari hadir pada minit ke-89 apabila Orban yang mendapat hantaran Marcel Halstenberg berjaya menewaskan Baumann sekali gus melegakan penyokong tuan rumah.

Leipzig akan berkunjung ke Nuremberg pada Sabtu ini sementara Hoffenheim menentang pasukan di tangga keenam, Eintracht Frankfurt di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 7:18 AM