JOHNSON gembira selepas memenangi Kejohanan Mexico-WGC di Mexico City, awal pagi semalam. — FOTO EPA
AFP

DUSTIN Johnson melonjak ke tangga kedua ranking dunia sekali gus menghampiri pemain nombor satu dunia Justin Rose selepas memenangi kejuaraan WGC keenam di Mexico.

Pemain Amerika Syarikat berusia 34 tahun itu kini hanya ketinggalan 0.0064 purata mata di belakang bekas juara Terbuka AS, Rose ketika dia berusaha kembali merampas ranking nombor satu, yang dipegangnya selama 81 minggu sebelum ini.

Kemenangan lima pukulan Johnson ke atas Rory McIlroy awal pagi semalam menjadikannya hanya pemain kelima dalam tempoh 50 tahun untuk mencecah 20 kejuaraan Jelajah PGA sebelum berusia 35 tahun, selepas Tiger Woods, Tom Watson, Johnny Miller dan Phil Mickelson.

Woods meneruskan kebangkitannya dalam ranking sejak kembali beraksi tahun lalu susulan pembedahan belakang, melonjak satu anak tangga ke tangga ke-12 selepas berkongsi tangga ke-10 di Mexico.

Pemenang empat kejuaraan utama, McIlroy pula meningkat dua anak tangga ke tangga keenam selepas kejayaan keempat berturut-turut berakhir dalam kelompok lima teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 1:09 AM