JOO Ven makin mempamerkan kematangan dalam permainan. — FOTO Muhaizan Yahya
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


KEJAYAAN Soong Joo Ven muncul juara kebangsaan Sabtu lalu meluaskan lagi saingan antara pemain muda untuk menggalas cabaran besar sebagai pengganti legenda negara, Datuk Lee Chong Wei.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria berkata, mereka kini mempunyai banyak pilihan dan membuatkan peminat tertanya-tanya siapa bakal pengganti bekas pemain nombor satu dunia itu.

“Sekarang ini persaingan semakin sengit antara Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan terbaru Joo Ven. Pada Kejohanan Kebangsaan juga kami dapat lihat kemunculan pemain berusia 19 tahun Lim Chong King yang mara ke separuh akhir,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Menurut Norza, perlumbaan untuk kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga semakin terbuka walaupun tumpuan terarah kepada Chong Wei dan Zii Jia.

“Ini menguatkan bukti BAM sebagai pusat berprestasi tinggi dalam melahirkan pemain berkualiti dan kami juga akan sentiasa memberi pendedahan kepada pemain pada kejohanan luar.

“Memang kami lihat ramai muka baru yang menyerlah pada kejohanan kali ini, sekali gus selari dengan usaha BAM untuk menjadikan 2019 sebagai tahun pembentukan pasukan muda dan bukan hanya terarah kepada perseorangan lelaki saja tapi semua bahagian,” katanya.

Norza turut memuji juara beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kerana akhirnya berjaya mengalahkan pasangan senior, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

“Setiap bahagian tidak hanya bergantung kepada seorang atau satu pasangan saja. Dalam beregu lelaki contohnya kami sudah mempunyai tiga pasangan berkualiti, termasuk naib juara kejohanan kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang hampir menumpaskan Mathias Boe-Carsten Mogensen di Sepanyol baru-baru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 7:29 PM