AHMAD Faedzal ketika melaporkan diri sebagai CEO baru ISN, hari ini. — Foto Twitter ISN
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@mediaprima.com.my


AHMAD Faedzal Md Ramli sah mengisi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Ahmad Faedzal seorang yang berpengalaman luas dalam pengurusan sukan termasuk menjadi Setiausaha Agung Majlis Kebajikan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK).

“Beliau pernah mengendalikan akaun Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN di EPU, jadi mengetahui masalah dan penambaikan yang perlu dilakukan.

“Beliau sudah memaklumkan akan melakukan penambahbaikan semaksimum mungkin dengan peruntukan sedia ada,” katanya selepas melancarkan akademi berbasikal secara simulasi kendalian bekas pelumba negara, Josiah Ng.


SYED Saddiq (tengah) bersama Josiah Ng (kiri) mencuba bicycle smart trainer disaksikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail selepas merasmikan Akademi Berbasikal Josiah Ng & VeloStudio di Kuala Lumpur, hari ini. — FOTO Owee Ah Chun

Ditanya mengenai KPI yang perlu dicapai, perkara itu perlu dibincangkan dan berdialog terlebih dulu dengan memberi ruang kepada Ahmad Faedzal bertemu kakitangan ISN terlebih dulu.

“Selain calon yang muda (40 tahun), ia membuktikan ada individu yang layak dalam kalangan penjawat awam,” katanya mengenai lulusan Sarjana Pengurusan Sukan dari Universiti Florida State, Amerika Syarikat.

Beliau yang memulakan tugas hari ini mengisi kekosongan yang ditinggalkan Dr Mohd Khairi Zawi yang meninggalkan ISN pada 30 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 6:46 PM