AKSI Dzeko menjaringkan gol Roma di Stadium Benito Stirpe, awal pagi tadi. - FOTO Agensi
Reuters

EDIN Dzeko menjaringkan dua gol termasuk jaringan pada minit akhir perlawanan bagi memberikan kemenangan berharga Roma 3-2 ke atas Frosinone di tempat lawan dalam aksi Serie A awal pagi tadi sekali gus memberi tekanan kepada AC Milan dalam persaingan merebut slot kelayakan Liga Juara-Juara.

Roma yang ketinggalan empat mata di belakang Milan sebelum perlawanan hampir keciciran mata sekali lagi ketika menentang pasukan bergelut dalam zon penyingkiran itu sehinggalah Dzeko muncul wira pada lewat permainan.

Dalam aksi di Stadio Benito Stirpe, Camillo Ciano membuka tirai jaringan tuan rumah selepas lima permainan bermula hasil kesilapan penjaga gol Roma, Robin Olsen yang menampan bola ke gawang sendiri.

Bagaimanapun, Roma mendahului perlawanan 30 minit selepas itu dengan dua gol dalam masa 72 saat.

Dzeko mengambil kesempatan hasil kealpaan pertahanan lawan dengan rembatan untuk gol pertama dan diikuti Lorenzo Pellegrini yang menjaringkan gol kedua selepas mendapat hantaran Stephan El Shaarawy.

Pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 menerusi pemain gantian Andrea Pinamonti tetapi pada minit kelima masa tambahan Dzeko muncul wira Roma apabila dia yang menerima hantaran El Shaarawy menjaringkan gol menggunakan paha dari jarak dekat.

Kemenangan itu membolehkan Roma meraih 44 mata dan menduduki tempat kelima, satu mata di belakang Milan sementara Frosinone kekal bermasalah di tangga ke-19 dengan 16 mata, lima mata di belakang pasukan di tangga ke-17, Empoli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 7:23 AM