WANDER Luiz (tengah) mengawal bola ketika menentang pasukan FELDA United. FOTO Bernama
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


PASUKAN Perak nyaris dihukum FELDA United dalam perlawanan di Stadium Perak, di sini malam ini apabila berjaya mengelak dimalukan pelawat hasil keputusan seri 1-1.

The Bos Gaurus gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dan tidak mampu mencipta jaringan sekaligus menerima padah dengan pasukan pelawat mendahului 0-1 seminit sebelum babak pertama tamat.

Gol FELDA United dijaringkan ketua pasukannya Muhammad Hadin Azman pada minit ke-44 melalui jaringan cantik sepakan percuma luar kotak penalti.

Anak buah Mehmed Durakovic dilihat kerap melakukan kesilapan dengan hantaran yang tidak tepat dan sering kehilangan bola.

Bersambung babak kedua beberapa asakan dilakukan berjaya mengucar kacir pertahanan pelawat hingga Wander Luiz dijatuhkan dan tuan rumah dihadiahkan penalti.

Gilmar Jose Da Silva tidak mensia-siakan peluang dan menjaringkan penalti pada minit ke-71 bagi menyamakan kedudukan.

Hanya pada tempoh berbaki kira-kira 10 minit sebelum perlawanan tamat permainan menjadi rancak dengan kedua-dua pasukan saling mengasak namun beberapa peluang terhidang gagal diterjemah melalui gol.

Pemain kendalian jurulatih Mohd Nidzam Jamil juga turut buntu mencari gol kemenangan hingga tamat perlawanan yang berkesudahan seri.

The Bos Gaurus kini hanya mengumpul dua mata selepas tiga perlawanan, manakala The Fighters yang sudah mengharungi empat perlawanan mengumpul tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 11:41 PM