Firdaus Hashim melaporkan dari Phnom Penh

PERLU menang berdepan Myanmar malam ini sambil mengharapkan ‘pertolongan’ tuan rumah.

Itu situasi dialami skuad muda negara selepas terikat 2-2 dengan Indonesia pada aksi kedua kelmarin sekali gus menyukarkan misi melepasi halangan Kumpulan B saingan Piala LG B-22 AFF di Phnom Penh, Kemboja.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tiada pilihan lain dalam aksi terakhir menentang Myanmar sambil mengharapkan Indonesia tewas atau seri dalam satu lagi aksi bertemu Kemboja.

Begitupun, tuan rumah dijangka menurunkan skuad kedua selepas muncul juara kumpulan susulan kejayaan mencatat dua kemenangan ke atas Malaysia (1-0) dan Myanmar (2-0) sebelum ini.

Tonggak tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat bagaimanapun menggesa rakan sepasukan terus kekal positif dengan memastikan kemenangan memihak pasukan dan tidak terlalu memikirkan aksi antara Indonesia dan Kemboja.

“Bagi saya untuk dapat tiga mata itu bukan senang (lawan Myanmar) tapi saya percaya semua pemain akan beri komitmen sepenuhnya untuk pastikan kita layak.

“Perlawanan sebelum ini kita lupakan dan misi di depan lebih penting. Walaupun nampak tipis saya yakin jika ada rezeki kita boleh layak ke separuh akhir,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium RSN, di sini, semalam.

Dia yang baharu pulih daripada kecederaan lutut kanan diberi tanggungjawab besar ketika bertemu skuad Garuda Muda bagi menghidupkan jentera tengah yang agak longlai ketika tumbang kepada Kemboja.

Impaknya amat dirasai oleh skuad negara apabila pemain pasukan Kelantan itu berjaya menghasilkan jaringan cantik menerusi sepakan percuma ketika mengikat Indonesia dengan satu lagi gol disumbangkan Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Namun, tugas sukar juga menanti anak didik Kim Swee pada aksi terakhir itu nanti memandangkan Myanmar juga turut mengidamkan pungutan tiga mata untuk menghidupkan peluang mereka mengiringi tuan rumah ke separuh akhir.

“Kita perlu bersikap realistik. Jika mahu keputusan baik, saya harap kami kekal positif, bersemangat, berikan aksi terbaik dan mungkin boleh lakukan kejutan bagi mendapatkan keputusan baik dengan Myanmar nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 7:30 AM