Aksi atlet karate dalam kejohanan Sukan Asia 2018, di Jakarta Palembang. FOTO NSTP
BERNAMA

HASRAT acara karate yang membuat kemunculan sulung pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, untuk terus dipertandingkan pada temasya sukan berprestij itu, tidak kesampaian apabila penganjur edisi 2024, Paris menggugurkan acara berkenaan.

Presiden Persekutuan Karate Dunia, Antonio Espinos berkata, badan induk karate dunia itu sangat sedih dengan pengumuman bahawa karate tidak dimasukkan sebagai sukan tambahan pada program Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Sebaliknya, laporan media antarabangsa menyatakan acara “breakdancing”, luncur air, “sport climbing” dan papan selaju sebagai empat sukan tambahan disenaraikan di Paris.

Karate, besbol/sofbol, skuasy dan petanque adalah antara 20 persekutuan sukan yang menjadi anggota gabungan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), memohon agar sukan-sukan berkenaan disenaraikan pada Sukan Olimpik 2024.

“Sukan ini berkembang dengan pesat sejak beberapa tahun lepas, dan kita masih tidak mendapat peluang untuk membuktikan sukan ini mempunyai nilai sebagai sukan Olimpik, berikutan kita akan membuat kemunculan sulung pada disiplin Olimpik di Tokyo.

Sejak beberapa bulan lepas, kita sudah berusaha keras dengan Persekutuan Perancis untuk mencapai matlamat kita agar karate disenaraikan pada Paris 2024.

“Kita percaya kita sudah memenuhi semua keperluan diperlukan, dan dalam keadaan terbaik untuk disenaraikan dalam program sukan, namun, kita difahamkan hari ini bahawa impian kita tidak menjadi kenyataan,” kata Espinos dalam kenyataan dalam laman sesawang WKF, www.wkf.net.

WKF menegaskan bahawa karate mempunyai 100 juta peminat daripada 194 persekutuan kebangsaan di seluruh dunia, yang mana pada Kejohanan Dunia 2018 berjaya menarik penyertaan 1,200 atlet dari 131 negara, dan disiarkan di 186 negara.

Menurut kenyataan itu, karate mempunyai 255,000 atlet gabungan daripada 5,000 kelab di Perancis, yang mana negara Eropah Barat berjaya menjuarai 15 gelaran dunia dalam empat Kejohanan Dunia sebelum ini, sekali gus kekal sebagai kuasa utama acara karate.

Untuk edisi Tokyo 2020, sejumlah lapan pingat emas ditawarkan membabitkan enam daripada kumite dan dua bagi kategori kata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 9:28 PM