KEMENANGAN 3-1 Liverpool di Anfield dua bulan lalu menyaksikan United memecat Mourinho. — FOTO Agensi
Reuters

MANCHESTER United mungkin tidak berada dalam perebutan kejuaraan namun anak buah Ole Gunnar Solskjaer boleh memberikan bayangan siapa menjuarai Liga Perdana Inggeris, bermula dengan aksi menentang Liverpool di Old Trafford, Ahad ini.

Manchester City mendahului Liga Perdana menerusi perbezaan jaringan daripada Liverpool kendalian Juergen Klopp dengan kedua-dua pasukan mengumpul 65 mata – 14 mata di depan pasukan tangga keempat United.

City tidak beraksi dalam Liga Perdana hujung minggu ini kerana mereka berdepan Chelsea pada final Piala Liga, memberi peluang buat Liverpool untuk kembali ke tangga teratas liga.

United masih perlu bertemu City sekali lagi pada kempen kali ini namun agak mengejutkan kepada sesetengah pihak, penyokong mereka mungkin lebih suka jika Red Devils mampu merosakkan impian Liverpool.

Liverpool tidak menang kejuaraan liga sejak 1990 manakala United menang 13 kali dalam tempoh itu dan penyokong mereka suka mengingatkan musuh tradisi mereka mengenai hakikat itu.

Perlawanan itu juga penting bagi Solskjaer dalam usahanya meyakinkan lembaga pengarah United beliau mungkin calon terbaik mengemudi kelab itu secara tetap selepas tempoh sementaranya berakhir hujung musim ini.


Ole Gunnar Solskjaer. FOTO AFP.

Warga Norway itu popular dalam kalangan penyokong United selepas mengemudi pasukan itu menang 11 daripada 13 perlawanan pertama kendaliannya dan jika beliau berjaya mengalahkan pasukan Klopp, ratingnya pasti melonjak.

Kekalahan di tangan Liverpool memberi peluang buat Solskjaer apabila Jose Mourinho dipecat susulan kekalahan 1-3 di Anfield, Disember lalu.

United mara ke suku akhir Piala FA dengan kemenangan bergaya 2-0 ke atas Chelsea, Isnin lalu manakala Liverpool berdepan perlawanan hujung minggu ini selepas seri 0-0 dengan Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara.

“Ia perlawanan besar menentang Manchester United, ia seringkali besar menentang mereka. Kami tidak sabar menantinya,” kata pertahanan kiri Liverpool, Andrew Robertson.

“Ia pertembungan besar dan mereka pasukan berbeza dengan corak bola sepak yang bagus, saya fikir kami perlu bimbang dengan ancaman mereka tapi mereka juga sedar siapa yang akan ditentang dan mereka perlu risau dengan kami juga,” katanya.

United berharap Anthony Martial dan Jesse Lingard pulih daripada kecederaan otot tepat pada masanya untuk bertemu Liverpool – dua pemain itu terlepas aksi Chelsea sesudah cedera ketika kalah aksi Liga Juara-Juara di tangan Paris Saint-Germain minggu lalu.


SENTUHAN jaringan Kane (kanan) ditagih Spurs. — FOTO Agensi

“Anda lihat senarai kesebelasan atau skuad penuh dan ia dipenuhi pemain bintang. Mereka mempunyai pasukan yang fantastik. Mereka juga ada pemain yang kembali daripada kecederaan dan skuad mereka terlalu kuat,” kata Robertson.

Tottenham Hotspur turut berharap merapatkan jurang dengan City dan kapten mereka Harry Kane mungkin kembali dalam kesebelasan utama di Burnley, Sabtu ini selepas beberapa minggu diketepikan susulan kecederaan buku lali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 1:55 PM